NEW 1 photo 1-1.png NEW 2 photo 2-1.png NEW 3 photo 3-1.png NEW 4 photo 4-1.png

Thursday, 10 October 2013

Kebaikan Dan Kelemahan Aktiviti Pantun Pada masa Kini

Kebaikan Aktiviti Berpantun


Aktiviti pantun di dalam kelas mampu memberikan banyak kebaikan atau manfaat kepada murid-murid selaku generasi muda pada hari ini. Ini kerana, mereka merupakan pewaris bangsa dan akan membawa budaya-budaya pada masa akan datang untuk diperkenalkan kepada generasi seterusnya. Oleh itu, adalah amat wajar aktiviti berbalas pantun diajar atau dibiasakan di dalam kelas.

Antara kebaikan aktiviti berpantun di dalam kelas adalah yang pertama, dapat melatih murid supaya peka terhadap keindahan, kehalusan dan kesenian bahasa yang ada dalam pantun. Kesedaran murid-murid terhadap unsur ini membolehkan mereka menghargainya sebagai sebahagian karya seni yang bernilai dalam kehidupan. Guru-guru boleh memperkenalkan pantun yang mudah kepada murid-murid seperti pantun dua kerat. Menurut Knapton dan Evans (1967), Manfaat terbesar daripada suatu karya sastera ialah ia membekalkan pengalaman estetik yang akan membawa pengaruh positif dan sihat ke atas penerimanya. Penggunaan bahan sastera dapat menolong memenuhi objektif untuk menanam nilai-nilai murni pada diri pelajar yang sedang di alam keremajaan. Pantun merupakan antara jenis cabang sastera yang patut dipelajari.

Kelebihan kedua adalah untuk melatih murid-murid memahami dan menterjemah bahasa yang mengandungi pelbagai makna yang terdapat dalam pantun dua kerat. Cara ini boleh membantu murid-murid mempertingkatkan lagi perbendaharaan kata di samping membantu memperkukuh kemahiran berbahasa mereka.

Ketiga, aktiviti ini membolehkan murid-murid mengesan maksud, menyusun dan menyenaraikan idea, mesej dan pengajaran yang terdapat dalam pantun dengan cekap dan pantas. Ini membantu menambah kecekapan kefahaman mereka. Dharmawijaya (1998) menegaskan bahawa pendekatan yang sesuai dilakukan dalam proses pengajaran pantun adalah dengan cara memahami prinsip puisi dan ciri-ciri bahasa puisi. Jika murid-murid telah biasa dengan pantun, mereka mungkin lebih mudah dan seronok memahami pantun.

Selain itu, kelebihan keempat adalah memberi peluang murid-murid untuk menikmati pantun dan memahami maksudnya secara keseluruhan. Kegiatan ini boleh mendorong murid-murid memupuk daya kreativiti untuk menghasilkan karya seni mereka seperti menghasilkan pantun yang paling mudah iaitu dua kerat ciptaan sendiri yang semakin dilupakan masyarakat.

Seterusnya yang kelima, Membolehkan murid-murid belajar bahasa lisan dalam suasana yang menyeronokkan kerana terdapatnya unsur berhibur. Aktiviti ini juga mampu menyuburkan minat serta menghidupkan lagi imaginasi murid-murid. Menurut Koh Boh Boon (1994), Penggunaan bahan sastera dalam pendidikan Bahasa Melayu dapat, antara lain menanam penghayatan terhadap keindahan Bahasa Melayu, memperkaya perbendaharaan kata dan mengasah kemahiran murid untuk mengarang dengan baik.


Kelemahan Aktiviti Pantun

Pada masa kini, dunia teknologi maklumat yang lebih menyeronokkan telah menyebabkan generasi muda kurang terdedah kepada budaya lama seperti budaya berpantun. Oleh itu, terdapat beberapa kelemahan yang dapat dikesan dalam aktiviti berpantun. Antaranya seperti yang pertama, pelajar lemah dalam memahami maksud pantun yang hendak disampaikan. Kadangkala, mereka hanya tahu cara membaca pantun dengan intonasi pantun yang betul. Namun mereka masih tidak memahami apakah yang ingin disampaikan oleh pantun tersebut.

Kelemahan kedua adalah, pelajar lemah dalam kemahiran mencipta pantun. Keadaan ini turut dialami atau terjadi pada generasi muda pada hari ini. Prof. Dr. Harun Mat Piah juga mengatakan, agak malang ada pantun yang dilontarkan tidak ada hubung kait langsung antara bait pembayang dengan maksud sedangkan dalam mengarang pantun inilah aspek yang perlu ditekankan (Utusan Malaysia, 22/02/2007)

Kelemahan ketiga adalah Puisi klasik atau pantun jarang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada masa kini, subtopik yang ingin diajar adalah terlalu banyak sehingga guru tiada mempunyai masa yang cukup untuk mengajar pantun. Pantun juga dilihat tidak begitu sesuai untuk disampaikan medium penyampaian maklumat untuk beberapa jenis matapelajaran seperti matematik dan sains.

Kelemahan yang keempat adalah pantun kian ketandusan di kalangan generasi muda terutama pelajar. Pelajar hari ini didedahkan kepada sumber-sumber hiburan lain yang lebih menarik berbanding dengan bahan bacaan yang berunsur lebih ringan, padat dan berbentuk hiburan (Lee Kim Hong, 2005). Pada maa kini, pelajar lebih suka melayari laman sosial berbanding membaca buku-buku pantun.

Kelemahan yang seterusnya adalah kekurangan buku-buku ilmiah berkaitan pantun serta kurangnya dorongan ibu bapa untuk mempelajari pantun. Dapatan kajian Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan buku-buku sastera berbentuk rekreasi di pasaran merupakan faktor kekurangan minat pelajar terhadap sastera. Ibu bapa kurang memberi galakkan kerana mereka beranggapan dengan membaca bahan sastera seperti novel dan cerpen akan mengganggu pencapaian akademik (Lee Kim Hong, 2005)



Pantun merupakan antara khazanah bangsa melayu yang amat bernilai dan patut dipelihara. Pantun akan menjadi lambang kebijaksanaan dan adab berkias yang dicipta dan diamalkan oleh orang melayu. Menurut Prof. Madya Siti Hajar Che Man (2013), pantun berbicara tentang manusia, dan seperti bentuk sastera tradisional yang lain pantun membawa “suara” kolektif masyarakatnya. Sebagai seni sosial, pantun amat terlibat dengan tuntutan untuk mendidik, dan membudayakan ahli masyarakatnya. Pantun seumpama sebuah ensiklopedia atau “buku” adab dan tradisi yang tiada tolok bandingnya. Perincian dalam pantun itulah cerminan kerencahan dan leluhur bangsa dulu, kini dan selamanya. Rumusan itu jelas menunjukkan betapa bernilainya budaya berpantun. DR Haryati Shafii (2010) pula menyifatkan pantun amat penting untuk dilestarikan apabila dihubungkait dengan pembangunan mampan. Kelestarian unsur alam itu sebenarnya membawa maksud tersurat dan tersirat sebagai pembayang maksud bagi menyampaikan sesuatu perkara dalam bentuk kiasan. Hal ini kerana masyarakat Melayu yang kaya dengan sopan dan santunnya amat menitik beratkan cara percakapan, pergaulan, cara hidup dan bermasyarakat yang jelas menggambarkan keluruhan budi perkerti yang tiada tolok bandingnya (Haryati, 2010). Selain itu, kita boleh mengkaji pantun-pantun lama yang membaca catatan sejarah yang amat bernilai. Bagaimanapun bahan-bahan ini (pantun) perlu diperbandingkan dengan catatan-cata tan sejarah untuk dipastikan kebenaran fakta yang terdapat di dalamnya (Zahir Ahmad, 2005).

1 comment:

  1. jazakallahulkhoir...terima kasih atas perkongsian ilmu yang bermanfaat..

    ReplyDelete