1.1 Pendahuluan
Pantun merupakan syair klasik yang menjadi kebanggaan orang melayu sejak zaman berzaman. Namun, pada masa kini, budaya membaca pantun atau berpantun dalam kehidupan seharian dilihat sudah semakin pudar. Pantun yang di cipta oleh orang melayu adalah sangat unik dan melihat bertapa bijaknya orang melayu. Menurut Muhammad Ariff Ahmad dalam Mari Kita Berpantun (2004), pengkaji Barat, R.O. Windstet mengulaskan bahawa tiada sesiapa dapat menganggarkan skop mental orang Melayu tanpa terdahulu memahami pantun. Ini menunjukkan, untuk memahami orang melayu pada masa dahulu, mereka perlu memahami pantun yang diucapkan oleh mereka.
Pada masa dahulu, pantun mempunyai fungsi yang meluas terutamanya untuk tujuan meluahkan perasaan. Contohnya perasaan sedih, gembira, luahan perasaan anak muda yang sedang bercinta juga nasihat orang tua kepada generasi muda. Hal ini telah dihuraikan oleh Muhammad Ariff mengenai pendapat pengkaji Barat terdahulu tentang fungsi pantun yang sebenar. Sarjana Belanda, Klinkert dan Pinappel menganggap bahawa pantun adalah lagu cinta orang muda. Mereka mengaitkan pantun itu hanya menjadi wahana mengangkut perasaan rindu kasih anak-anak muda dan menyampaikannya kepada kekasihnya. Ini kerana, pada masa dahulu, lagu-lagu juga dicipta menggunakan bait-bait rangkap pantun. Apabila kita menonton filem-filem lama, orang melayu kerap menggunakan pantun untuk merisik anak dara orang.
Walaubagaimanapun, Muhammad Ariff Ahmad (2004), mempercayai bahawa pantun itu mempunyai kegunaan yang luas dan fungsinya tidak terbatas pada mana-mana peringkat umur sekalipun. Ini kerana, penggunaan pantun juga tidak hanya terbatas pada mana-mana golongan manusia Melayu, iaitu dalam naskhahnya juga merujuk kepada kalangan petani, nelayan, usahawan, pendidik, pemusik tentera dan awam dan sebagainya. Jenis-jenis pantun juga dilihat sangat meluas dan tidak terhad.
Zahir Ahmad (2005) mengatakan, pantun merupakan rakaman pengalaman dan pemerhatian peribadi si pemantun dalam menjalani kehidupan seharian. Pengalaman dan pemerhatian tersebut diungkapkan semula dalam baris-baris yang walaupun terhad tetapi tidak menjejaskan mesej yang hendak disampaikan. Penggunaan nama-nama tempat nama-nama tokoh, aktiviti kesenian, aspek kebudayaan boleh digunakan untuk mengkaji aspek-aspek budaya dalam sesebuah masyarakat di sesuatu tempat. Melalui kumpulan pengalaman dan pemerhati ini lah yang membentuk sebuah pantun. Menyampai sesuatu pemerhatian menggunakan ungkapan pantun juga dilihat lebih menyeronokkan dan mampu diingati. Kadangkala, ianya disampaikan menjadi sebuah teka teki yang akan di jawab menggunakan pantun yang bersesuaian.
Dalam sebuah rangkap pantun yang kebiasaannya terdiri dari empat baris ayat, ianya akan dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah dua baris pertama ayat yang dipanggil pembayang manakala dua baris akhir dipanggil maksud. Menurut Za‟ba dalam Ilmu Mengarang Melayu menyifatkan bahawa makna asal kekata pantun itu ialah “seperti” atau “umpama”, kemudian pantun itu dipakai dengan makna “perumpamaan”. Beliau menyatakan Pantun ini pula difahamkan oleh masyarakat sebagai sejenis karangan berangkap yang terbahagi pada dua, iaitu baris-baris yang mengandungi pembayang dan inti maksudnya. Rima akhir bagi setiap pantun adalah sama atau berselang-selih. Contohnya rima ‘A’ ’a’ atau ‘A’ ’b.’
1.2 Objektif Penulisan
Objektif utama penulisan ini adalah untuk memupuk kecerdasan minda dan kreativiti murid-murid melalui aktiviti Pantun. Oleh itu, maklumat tentang pantun dikumpul supaya guru lebih memahami pantun sebelum memberi pendidikan kepada murid-murid. Objektif lain penulisan ini adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada generasi muda mengenai pantun. Penulisan ini diharap dapat membantu generasi muda mengetahui serba sedikit mengenai pantun. Ini kerana, pantun juga merupakan sebahagian khazanah bangsa melayu yang patut di pelihara dan dikekalkan.
1.3 Skop Penulisan
Skop penulisan ini adalah di sekolah kebangsaan Pekan Pitas 2. Maklumat mengenai pantun dikumpulkan untuk pelajar tahun enam supaya dapat menunjukkan aktiviti berbalas pantun dilaksanakan dalam bilik darjah. Proses P&P dirancang bagi menyampaikan pengetahuan kepada murid-murid mengenai maksud pantun, jenis-jenis pantun dan aktiviti berbalas pantun.
2.1 Definisi pantun
“Bagi saya pantun menunjukkan kebijaksanaan dan kreativiti orang Melayu ketika itu. Ini membuktikan keupayaan orang Melayu jauh lebih baik dari sekarang”
(Ungku Aziz, 2011).
Pantun merupakan sebuah ucapan dalam bentuk hiburan yang dicipta oleh orang melayu. Melalui pantun, kita melihat bangsa melayu adalah bangsa yang kreatif dalam bercakap dan sangat menjaga kesopanan ketika menyampaikan sesuatu. Sifat sopan dan beradap orang melayu inilah melahirkan pantun atau juga dikenali sebagai puisi klasik.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002) dan Edisi Keempat (2007), Pantun ialah sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya). Ini bertepatan dengan maksud pantun yang telah diterangkan oleh Pendeta Dr. Za’ba. Apabila kita ingin membina sebuah pantun, pembayang yang kita gunakan perlukan bertepatan dengan makna yang kita ingin sampaikan. Pada masa kini, Pantun dicipta hanya mengikut kesedapan bunyi tanpa menggunakan pembayang yang bersesuaian.
Pantun merupakan antara perkara penting yang perlu dipelajari oleh masyarakat Melayu. Ini kerana, Pantun merupakan salah satu medium dalam menyampaikan sesuatu perkara. Zahir Ahmad (2005) mengatakan Pantun adalah pengucapan lisan oleh masyarakat Melayu sejak zaman berzaman lagi. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat Melayu terungkap melalui pantun. Pantun amat popular di dalam majlis-majlis orang melayu. Contohnya dalam istiadat diraja, majlis perkahwinan dan keramaian. Ini kerana, penggunaan pantun dilihat lebih sopan dan berkias. Pantun dicipta dalam konteks budaya tradisional yang amat mementingkan kesopanan berbahasa dan ketertiban berkomunikasi (Noriah Taslim 2003).
Menurut Siti Hajar (2013), Pantun dianggap sebagai hasil kreatif manusia Melayu yang terawal. Dikatakan juga pantun sebagai khazanah silam yang amat bernilai, melambangkan genius manusia Melayu yang tinggi nilai sasteranya. Pantun juga merupakan salah satu genre asli kesusasteraan menjadi wahana bagi pengucapan dalam berbagai jurusan aktiviti kehidupan masyarakat. Tidak ketinggalan pantun juga dijadikan alat ekspresi bagi kehidupan yang lebih tinggi iaitu moral dan agama, aspek-aspek yang lebih kompleks yang membawa kepada pemikiran kosmologi dan kosmogoni yang lebih bersifat abstrak berbanding dengan kehidupan seharian (Siti Hajar, 2013). Tambahnya lagi, pantun lebih istimewa apabila ianya menjadi perakam kepada cara hidup dan aktiviti kehidupan dibayangkan dengan mengeksploitasi unsur-unsur alam yang melatari dan melingkungi persekitaran setempat.
2.2 Jenis-jenis Pantun
Pantun boleh dibahagikan kepada beberapa jenis sama ada dari segi jumlah barisan ayat mahupun kegunaan pantun itu sendiri. Pantun yang biasa di gunakan adalah pantun empat baris. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa jenis yang lain seperti, pantun dua baris, pantun enam baris, pantun lapan baris, pantun dua belas baris dan pantun berkait. kesemua jenis pantun ini boleh dibezakan lagi dalam beberapa jenis yang terlalu luas kerana kegunaan pantun yang tidak terikat. berikut merupakan jenis-jenis pantun.
A. Jenis Pantun Mengikut Baris Berserta Contoh.
1. Pantun Dua Baris
Contoh:
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan binasa
Baris pertama adalah pembayang dan baris kedua adalah maksud yang ingin disampaikan.
2. Pantun Empat Kerat
Contoh :
Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.
Baris pertama dan kedua dijadikan pembayang. Manakala baris ketiga dan keempat adalah maksud yang ingin disampaikan. Maksud Pantun ini adalah apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera.
3. Pantun Enam Kerat
Contoh:
Bukan cempedak kami katakan,
Buah delima dalam pasu,
Pisau lipat baru diasah;
Bukankah telah kami katakan,
Pandang pertama cinta palsu,
Tiada dapat dibawa bersusah.
Baris pertama, kedua dan ketiga dijadikan pembayang. Manakala baris keempat hingga keenam adalah maksud yang ingin disampaikan. Maksud Pantun ini adalah suatu nasihat yang diberikan kepada orang muda tentang cinta pertama. Cinta pertama kadang-kadang kita melihat luaran tidak sama seperti yang nyata.
4. Pantun Lapan Baris
Contoh:
Rumpun rotan di kota alam,
Ditebang dibelah empat,
Tumbuh serumpun di seberang,
Selasih muara sungai;
Penglihatan usah diperdalam,
Pandang nan usah dipertepat,
Adik di dalam tangan orang,
Maksud rasa tak akan sampai.
Baris pertama hingga keempat dijadikan pembayang. Manakala baris kelima dan kelapan adalah maksud yang ingin disampaikan.
5. Pantun Dua Belas Baris
Contoh:
Rotan sepatah dua patah,
Tarik kerakap batang padi,
Dibawa Sutan dari Judah,
Padi yang jangan digemparkan,
Kalau gempar antara gugur,
Bila gugur masuk perigi;
Tuan di Mekah di Madinah,
Naik akhirat batu haji,
Tegak berdiri Rasulullah,
Kami yang jangan dilupakan,
Kalau lupa antara tidur,
Dalam tidur menjadi mimpi.
Baris pertama hingga keenam dijadikan pembayang. Manakala baris ketujuh dan kedua belas adalah maksud yang ingin disampaikan. Maksud Pantun ini adalah apabila masyarakat bermuafakat lahirlah negara yang aman dan sejahtera. Petikan daripada Puisi Melayu Tradisi susunan Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, Penerbit Fajar Bakti, 1985, halaman 20.
6. Pantun Berkait
Contoh:
Angsana berpucuk di atas batu,
Pucuk digangsa beribu-ribuan,
Ada bunga di naung batu,
Kuntumnya kaca tangkainya embun.
Pucuk digangsa beribu-ribuan,
Kembang diuca balik beroleh;
Kuntumnya kaca tangkainya embun,
Dipandang sahaja diambil tak boleh.
Kembang diuca balik beroleh,
Tambang garam di dalam sekoci;
Dipandang sahaja diambil tak boleh,
Bertambah geram di dalam hati.
Pantun berkait berbeza sedikit dengan jenis-jenis pantun yang lain. Pantun berkait adalah dalam bentuk berangkap dan terikat seperti dalam contoh. Terdapat empat baris satu rangkap dan masih mengekalkan ciri-ciri asal iaitu dua baris pembayang dan dua baris maksud. Namun terdapat jeda atau hentian sementara di tengah baris. Pantun jenis ini dilafaz secara intonasi. Baris kedua pada rangkap pertama diulang semula pada baris pertama rangkap kedua dan baris keempat pada rangkap pertama diulang semula pada baris ketiga rangkap kedua. Di antara satu rangkap dengan rangkap yang lain ada pertalian maksud atau cerita. Kesuluruhan rangkap merupakan kesatuan sebuah cerita dan kerana itu ianya dipanggil pantun berkait.
B. Jenis Pantun Mengikut Kegunaan atau Unsur Berserta Contoh.
1. Nama-nama Tempat
Contoh:
Dari Gunung ke Anak Bukit
Singgah bermalam di Bukit Pinang
Duduk melenggung hati sakit
Bila tahun hati nak tenang
2. Aktiviti Kesenian
Contoh:
Bunga Tanjung putih berseri
Bunga kembang berlapis-lapis
Lagu canggung lagu asli
Lagu asal negeri Perlis
3. Nama-nama Tokoh
Contoh:
Tanjung Rhu di hujung tanah
Pokoknya beratur seperti jambangan
Kematian Mahsuri kerana fimah
Kini hati tinggal kenangan
4. Adat Resam /Budaya
Contoh:
Ikan berenang didalam lubuk
Ikan belida dadanya panjang
Adat pinang pulang ke tampuk
Adat sirih pulang ke gagang
5. Pantun Agama
Contoh:
Daun terap diatas dulang
Anak udang mati dituba
Dalam kitab ada terlarang
Yang haram jangan dicoba
6. Pantun Jenaka
Contoh:
Oh bulan kemana bintang
Atas pucuk kayu ara
Oh tuan kemana hilang
Dalam bilik anak dara
Kemudian dibalas,
Atas pucuk kayu ara
Lebat daunnya pokoknya rindang
Hilang kedalam bilik nak dara
Cuma meminta rokok sebatang
7. Pantun Percintaan
Contoh:
Layang-Layang Terbang Melayang
Jatuh Ke Laut Melayang-Layang
Siapa Bilang Abang Tak sayang
Siang Malam Terbayang-Bayang
8. Pantun Perpisahan
Contoh:
Batang selasih permainan budak
Berdaun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga
Batang selasih permainan budak
Tumbuhnya jarang tepi telaga
Bercerai kasih bukan kehendak
Paksaan orang dituruti juga
9. Pantun teka teki
Contoh:
Maruah negara perlu dijaga,
Ikrar dipegang sepanjang masa,
Walau di sempadan di mana juga,
Hidup berbakti kepada negara.
10. Pantun Nasihat
Contoh:
Orang mengail di Teluk Bulang,
Apalah umpannya si kulit duku;
Jangan bermain kekasih orang,
Nyawa tersangkut di hujung kuku.
No comments:
Post a Comment