NEW 1 photo 1-1.png NEW 2 photo 2-1.png NEW 3 photo 3-1.png NEW 4 photo 4-1.png

Thursday 17 November 2011

KONSEP KETINGGIAN PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi. Ini kerana, perlembagaan menjadi punca kepada semua undang-undang yang terdapat di Malaysia. Selain itu tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan dan semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan. Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan. Walaupun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan. Tidak ada seorang pun berhak mengganggu dan mempersoalkan ketertinggian perlembagaan.

Perlembagaan Malaysia mengandungi 131 Perkara yang menyentuh pelbagai aspek pemerintahan. Perlembagaan juga mengandungi 16 Bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah:-

Bahagian I : Negeri-Negeri, Agama Dan Undang-Undang Bagi Persekutuan

Malaysia adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.


Bahagian II : Kebebasan Asasi

Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.


Bahagian III : Kewarganegaraan

Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara; dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan bagaimana seseorang boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.


Bahagian IV : Persekutuan

Bahagian ini memberi panduan kepada sistem kerajaan di Malaysia. Ketua utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Bahagian V : Negeri-Negeri

Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing. Bahagian VI : Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.


Bahagian VII : Peruntukan Kewangan

menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.


Bahagian VIII : Pilihan Raya

menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai Suruhanjaya Pilihanraya. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.


Bahagian IX : Badan Kehakiman

mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.



Bahagian X : Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya–suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat Peguam Negara.



Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.

Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.



Bahagian XII : Am Dan Pelbagai

Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.



Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak.

Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.



Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.



Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja

Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam Bahagian XIV.



Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja.

Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”.



Pindaan Perlembagaan Malaysia

Perlembagaan negara boleh dipinda apabila majoriti 2/3 bersetuju kepada pindaan tersebut dikedua-dua dewan di PARLIMEN. Perlembagaan negara telah dipinda lebih daripada 42 kali sejak selepas kemerdekaan. Terdapat dua dewan penting yang terlibat dalam pindaan perlembagaan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Parlimen.

Dewan rakyat berperanan mengubal dan membahas rang undang-undang. Anggota Dewan Rakyat dipilih menerusi pilihanraya umum dimana mereka bertanding bagi kawasan Parlimen. Sehingga pilihanraya 2008 sebanyak 219 kerusi parlimen dipertandingkan bagi mengisi keanggotaan di Dewan Rakyat. Anggota Dewan Rakyat juga dikenali sebagai Yang Berhormat

Dewan Negara berperanan membahas rang undang-undang yang telah diluluskan di dalam dewan rakyat. Anggota dewan negara juga dikenali sebagai senator adalah dipilih dan dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong seramai 40 orang

No comments:

Post a Comment