NEW 1 photo 1-1.png NEW 2 photo 2-1.png NEW 3 photo 3-1.png NEW 4 photo 4-1.png

Thursday 30 May 2013

SEKOLAH BESTARI

Menjelang tahun 2020, sejajar dengan Wawasan 2020, Malaysia ingin menjadi sebuah negara maju mengikut acuan tersendiri iaitu yang seimbang dari segi kemajuan ekonomi, politik, sosial, kerohanian serta kebudayaan. Untuk mencapai kemajuan dalam semua aspek ini, bidang pendidikan antara bidang yang perlu bertungkus lumus memajukan dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan modal insan. Modal insan yang cekap dilahirkan daripada pelajar-pelajar yang berkualiti berdasarkan medium pengajaran yang sesuai seperti penggunaan medium teknologi maklumat (IT) . Medium IT memerlukan kita berkemahiran dalam penggunaan komputer dan internet. Penggunaan komputer membantu guru-guru menyampaikan ilmu dan melaksanakan proses pembelajaran dengan cara yang lebih kreatif, mudah dan tidak membosankan. Penggunaan medium internet pula memudahkan pelajar mendapat ilmu dengan lebih luas dan tanpa sempadan biarpun mereka berada di ceruk kampung. Menurut Abd. Rahim (2005), globalisasi menyebabkan wujudnya konsep dunia tanpa sempadan, konsep liberalisasi maklumat, konsep pembelajaran global, konsep perubahan global dan sebagainya.

Oleh itu, pada tahun 1999, sejajar dengan peningkatan permintaan yang memerlukan penerapan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan sistem pendidikan Sekolah Bestari. Dalam sistem pendidikan Sekolah Bestari, semua aspek dalam sekolah tersebut termasuklah aspek pentadbiran, pengurusan, membelajaran dan pengajaran kesemuanya berpandukan penggunaan ICT. Segala kemudahan dan kelengkapan diberikan kepada sekolah tersebut. Selain itu, melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, Kementerian Pendidikan Malaysia turut melancarkan teras PIPP ialah memperkasakan sekolah kebangsaan. Untuk memperkasakan sekolah kebangsaan ini, program pembestarian sekolah dan pengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) telah diwujudkan. Program pembestarian sekolah melibatkan penggunaan ICT secara sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bermula pada masa itu juga, kemudahan dan kelengkapan seperti makmal komputer, peralatan komputer, projektor LCD dan internet diberikan secara berperingkat
Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran-pembelajaran dan pengurusan sekolah untuk membantu kanak-kanak menghadapi Zaman Maklumat ( Portal KPM, capaian 2013). Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT (btpnperlis,2011). Menurut edidik.com (2010), Sekolah Bestari adalah suatu sistem pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusat kepada pelajar dengan menggunakan pendekatan yang lebih kritis dan kreatif serta menggunakan teknologi sebagai pengupaya.



Terdapat beberapa ciri penting yang membezakan Sekolah Bestari dengan sekolah harian biasa. Antara ciri-ciri Sekolah Bestari adalah seperti berikut :-

  1.  Semua murid mampu dan dapat belajar.
  2. Kurikulum mengambil kira pelbagai kebolehan dan keperluan.
  3. Iklim pembelajaran yang kondusif
  4. Penilaian berterusan
  5. Pentadbiran dan guru profesional
  6.  Sokongan ibubapa dan komuniti.


Konsep Sekolah Bestari

Seperti yang telah didefinisikan di dalam Kamus Dewan Edisi keempat, bestari adalah bermaksud segak, pintar, bijak, pantas serta berkelas tinggi. Oleh itu, sesuai dengan makna bestari, konsep Sekolah Bestari juga perlu memenuhi maksud bestari itu sendiri dengan cara menyediakan medium pengajaran dan pembelajaran yang lebih sesuai. Beberapa usaha telah dilaksanakan bagi menjadikan sesebuah sekolah memenuhi konsep Sekolah Bestari. Antara usaha tesebut adalah, mengubah budaya P&P daripada tradisional kepada yang berteraskan ICT, Sistem pengurusan yang lebih profesional, mengamalkan sistem penaksiran dan penilaian secara berterusan dan holistik serta mencukupi keperluan teknologi multimedia sepesti prasarana ICT, makmal komputer, tenaga kepakaran dan tenaga kerja (Adenan, Mohd Ra’in, Tuan Jah, 2012)

Menurut PelanPembangunan Pendidikan Malaysia tersebut lagi, kementerian terus dengan matlamat untuk melayakkan semua sekolah mencapai taraf “Sekolah Bestari” iaitu mencapai standard minimum penggunaan ICT, keupayaan guru, kesediaan infrastruktur dan aplikasi ICT. Kementerian mengambil prinsip berikut sebagai panduan untuk membangunkan strategi ICTnya:

(i) Memastikan keperluan asas disediakan seperti peralatan, jaringan dan aplikasi ICT, kompetensi guru dalam ICT, serta kurikulum dan pentaksiran mesti dimantapkan sebelum beralih kepada penggunaan ICT yang lebih tekal dan inovatif;

(ii) Membangunkan strategi seterusnya daripada asas yang telah disediakan. Contohnya, Kementerian akan memastikan bahawa semua inisiatif ICT masa depan akan ditingkatkan dan memperkukuhkan keberkesanan 1BestariNet

(iii) Melabur dalam penyelesaian ICT untuk kumpulan berkeperluan khusus terutamanya di sekolah luar Bandar, sekolah kurang murid, dan murid pintar cerdas.

(iv) Bergantung pada pentaksiran berasaskan outcome. Pentaksiran ini bertujuan sebagai bukti bagi kejayaan program. Tindakan ini memerlukan penambahbaikan dalam set pengukuran sedia ada seperti Smart School Qualification Standard (SSQS), selaras dengan standard antarabangsa sedia ada

Sekolah Bestari diwujudkan bertujuan melahirkan pelajar yang holistik, berupaya berfikir secara bijak dan saksama (Adenan et al, 2012). Sekolah Bestari juga adalah untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan membangunkan tenaga kerja untuk Zaman Maklumat. Oleh yang demikian, objektif Sekolah Bestari adalah seperti berikut :-

(i) Menjadikan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi

(ii) Membangunkan intelek rohani, emosi dan jasmani pelajar.

(iii) Mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu.

(iv) Meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan

(v) Mendemokrasikan pendidikan.


Komponen teras pedagogi bestari adalah merangkumi teori pembelajaran, kemahiran generik, ciri-ciri pelajar, strategi pengajaran dan jenis pembelajaran (Adenan et al, 2012). Elemen-elemen bestari yang perlu diintegrasikan sewaktu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah meliputi gaya pembelajaran, kecerdasan pelbagai kompetensi kecerdasan emosi, pendekatan pembelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran, dan kemahiran generik. Merancang Pengurusan Kurikulum yang berintegrasikan elemen bestari. Guru perlu mengenalpasti spesifikasi kurikulum mata pelajaran yang akan diajar di sekolah. Perancangan dan penyediaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk jangka panjang dan jangka Pendek adalah amat digalakkan supaya aktiviti yang dibuat lebih teratur. Perancangan yang lebih teratur akan memberi ruang kepada pelajar untuk belajar secara kendiri, dan membolehkan guru melaksanakan peranan sebagai fasilitator. Antara elemen bestari yang perlu di ambil perhatian adalah kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran mentaksir dan menilai, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi serta kemahiran fasilitator.

Hasil tinjauan terhadap beberapa sekolah yang telah dipilih, kebanyakan guru menyokong konsep Sekolah Bestari. Ramai guru berpendapat, penggunaan ICT dalam proses P&P memudahkan kerja mereka terutamanya mencari maklumat pembelajaran melalui internet. Sumber percuma dalam internet banyak mendatangkan keuntungan kepada pengguna untuk tujuan pembelajaran dan juga bidang-bidang lain (Fakhrul, 2002). Ini berbeza dengan cara tradisional di mana kosnya lebih mahal untuk membeli buku, jurnal dan sebagainya. Ia juga menyediakan kandungan terkini iaitu bahan yang terdapat dalam internet mudah dikemaskini dan maklumatnya terkini. ICT boleh mengembangkan konsep belajar yang bebas daripada pergantungan pada guru dan pembelajaran yang tidak terikat organisasi bilik darjah dan sekolah yang rigid dan terkongkong. Ini sudah tentu akan memberi cabaran kepada profesion keguruan, khususnya dari segi peranan dan tugas pendidikan yang selama ini bergantung pada guru. Secara ringkasnya, penggunaan ICT mampu meningkatkan kefahaman dan penguasaan guru dan pelajar terhadap pelajaran, memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan dan meningkatkan motivasi guru dan pelajar. Membolehkan pembelajaran bersendiri. Selain itu, ianya juga membolehkan guru mengakses maklumat yang sukar diperolehi, mengumpul maklumat yang perlukan masa yang lama atau terlalu mahal untuk diperoleh, mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan mencabar dan embolehkan pelajar mencuba atau melaksana eksperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya untuk dilaksana dengan cara biasa.

No comments:

Post a Comment