NEW 1 photo 1-1.png NEW 2 photo 2-1.png NEW 3 photo 3-1.png NEW 4 photo 4-1.png

Friday, 27 September 2013

Usaha-Usaha Kerajaan Untuk Mengekalkan Kepelbagaian Biodiversiti Di Malaysia.

Kekayaan Biodiversiti Malaysia menyebabkan dunia terlalu peka terhadap keadaan ekosistemnya. Oleh itu, kerajaan Malaysia perlu peka terhadap masalah atau pencemaran yang berlaku dalam dalam sekitar negara bagi menjaga dan mengekalkan keindahan biodiversitinya. Selainterlibat bagi pemuliharaan biodiversiti global sejak tahun 1992 melalui Konvensyen Kepelbagaian Biologi ( CDB ), pelbagai usaha telah dibuat oleh kerajaan untuk terus menjaga Biodiversiti Malaysia. Antara usaha kerajaan tersebut adalah meliputi peracangan jangka panjang, program pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang tertentu.

Antara perancangan jangka panjang kerajaan terhadap hal ini adalah Rancangan Fizikal Negara kedua (RFN Ke-2) yang telah diamanahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. RFN ke-2 ini bermatlamat untuk membentuk satu rangka spatial negara yang efisien, saksama dan mampan untuk memandu pembangunan keseluruhan Negara ke arah mencapai tahap Negara Maju Dan Berpendapatan Tinggi Menjelang Tahun 2020. Matlamat ini digubal setelah mengambilkira beberapa isu dan cabaran yang memberi impak kepada perancangan fizikal seperti ancaman perubahan iklim, struktur bandar mampan atau 'Compact City', kemerosotan biodiversiti, geo-bencana, jaminan bekalan makanan dan penggunaan teknologi hijau (RFN Ke-2, 2010).

Biodiversiti merupakan antara aspek penting dalam rancangan ini kerana salah satu objektif RFN ke-2 adalah mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber asli untuk mencapai pembangunan mampan dan pemuliharaan biodiversiti. Menurut laporan RFN Ke-2, 2010, pembangunan mampan adalah "pembangunan yang dapat memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan peluang generasi akan datang untuk memenuhi kehendak mereka" (Laporan Bruntland1). Konsep terkini bagi pembangunan mampan mengambilkira elemen-elemen ekonomi dan sosial sebagai sub komponen kepada persekitaran pembangunan mampan. Ini bermakna, pembangunan mampan yang kerajaan harapkan bukan sahaja kita mampu melihat atau sesuatu yang berubah kepada lebih baik tetapi pembangunan ini masih melihat bagaimana biodiversiti dikekalkan.

Oleh itu, bagi memastikan perubahan pembangunan dapat dibuat disamping menjaga keharmonian biodiversiti, perancangan yang rapi perlu dibuat ketika menggunakan tanah untuk pembangunan. Menurut RFN ke2, objektif utama perancangan guna tanah adalah untuk menyumbang ke arah pencapaian pembangunan mampan. Sebahagian besar aktiviti pembangunan dijalankan di atas tanah, di mana bagi sebidang tanah yang sama, akan berlaku banyak persaingan untuk kegunaan yang berbeza. Sektor ekonomi, aktiviti sosial dan isu perlindungan alam sekitar saling bersaing untuk mendapatkan kawasan yang bersesuaian dan terhad. RFN Ke-2 bukan sahaja perlu memperuntukkan tanah yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masa hadapan setiap sektor, tetapi harus juga peka terhadap pembahagian jumlah peruntukan tanah mengikut sektor, untuk mencapai penggunaan tanah yang mampan, efisien dan optimum, contohnya menetapkan kegunaan atau pembangunan di tempat dan masa yang bersesuaian. Pembaziran tanah, iaitu tanah terbiar dan tanah-tanah yang mempunyai produktiviti rendah bagi mana-mana sektor ekonomi perlu dielakkan (RFN Ke-2, 2010).

Oleh itu strategi yang berkesan diperlukan untuk merealisasikan pembangunan mampan yang diharapkan oleh kerajaan. RFN Ke-2 akan menyediakan strategi perancangan spatial untuk mempertingkatkan daya saing antarabangsa dan rangka kerja untuk mengukuhkan kesepaduan dan teras pembangunan negara. Laporan ini akan menyediakan dimensi spatial atau geografi ke dalam rancangan pembangunan yang lebih cenderung kepada aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Menurut laporan itu lagi, aspek spatial RFN Ke-2 akan memandu perancangan pembangunan negara yang lebih efisien bagi memastikan penggunaan sumber negara secara mampan dan efisien, terutamanya penggunaan modal dan sumber modal insan sedia ada yang optimum.

Selain daripada rancangan-rancagan yang terdapat dalam RFN ke-2, kerajaan terus menjaga biodiversitinya melalui Dasar Perhutanan Negara yang telah bermula pada tahun 1977 dan telah disahkan oleh Majlis Tanah Negara pada tahun 1978 (Pindaan 1992). Menurut laporan Malaysian Timber Council (2007) yang bertajuk Malaysia : Pengurusan Hutan Mampan, objektif-objektif utama Dasar Perhutanan Negara adalah bersifat serampang dua mata iaitu memelihara dan mengurus hutan-hutan negara berdasarkan prinsip pengurusan mampan di samping melindungi alam sekitar, memelihara kepelbagaian biodiversiti dan sumber-sumber genetik, serta mempertingkatkan penyelidikan dan pendidikan. Hutan merupakan antara medium penting dalam biodiversiti. Ini kerana, hutan merupakan habitat bagi kebanyakkan jenis flora dan fauna. Hutan juga menjadi kawasan tadahan air hujan dan mampu mengawal suhu dunia. Oleh itu, amat perlu sekiranya penjagaan biodiversiti bermula dengan melindungi hutan.

Untuk memastikan Biodiversiti akan terus terjaga dan dikekalkan, kerajaan juga meneruskan usahanya melalui menguatkuasakan pelbagai undang-undang dan akta. Selain daripada Akta Perhutanan Negara 1984, Enakmen Hutan Sabah 1968 dan Ordinan Hutan Sarawak 1954, undang-undang lain yang turut termaktub dalam pengurusan hutan secara mampan seperti ;

i. Akta Air 1920

ii. Akta Orang Asli 1954

iii. Akta Pemuliharaan Tanah 1960

iv. Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972

v. Akta Kualiti Alam Sekitar 1974

vi. Akta Taman Negara 1980

vii. Ordinan Sungai Sarawak 1993

viii. Ordinan Air 1994 (Sarawak)

ix. Enakmen Sumber Air 1998 (Sabah)

x. Enakmen Biodiversiti 2000 (Sabah).


Menurut laporan Malaysian Timber Council (2007), Dasar Perhutanan Negara memperuntukkan Hutan Simpanan Kekal yang mencukupi dan terletak di kawasan-kawasan yang strategik di seluruh negara, berteraskan konsep penggunaan tanah yang rasional. Menurut laporan itu lagi, kawasan Hutan Simpanan Kekal ini diurus dan diklasifikasikan di bawah empat fungsi utama:

1) Hutan sebagai Perlindungan (Protection Forest), Untuk memastikan iklim dan persekitaran fizikal negara yang melindungi sumber air kesuburan tanah dan kualiti alam sekitar, melindungi kepelbagaian biologi dan mengurangkan kerosakan sungai dan tanah pertanian akibat banjir dan hakisan.

2) Hutan sebagai Pengusahahasilan (Production Forest), Untuk mengekalkan bekalan pada kadar yang berpatutan bagi semua bentuk hasil hutan yang boleh dikeluarkan secara ekonomi untuk kegunaan domestik dan eksport.

3) Hutan sebagai Kemudahan (Amenity Forest), Untuk melindungi kawasan-kawasan hutan secara mencukupi bagi tujuan rekreasi, ekopelancongan dan kesedaran awam.

4) Hutan sebagai Penyelidikan dan Pendidikan (Research & Education Forest) Untuk menjalankan penyelidikan, pendidikan dan melindungi kepelbagaian biologi.


Selain daripada menjaga hutan, hidupan air seperti hidupan yang berasa didalam laut juga sebahagian daripada Biodiversiti. Kerajaan juga dilihat tidak mengabaikan penjaan laut dan hidupan marinnya. Sebagai bukti kepada kesungguhan Kerajaan dalam menguruskan wilayah kelautannya secara teratur, Malaysia telah melaksanakan pelbagai konvension lautan antarabangsa (Nazery Khali, 2009). Menurut Nazery Khalid (2009) lagi, Malaysia juga telah menggariskan beberapa dasar nasional bagi memelihara persekitaran perairan lautannya. Sebagai contoh, Dasar Alam Sekitar Kebangsaan menggariskan strategi komprehnsif bagi mencapai penggunaan dan pengeluaran sumber-sumber alam negara secara lestari.7 Malaysia juga mengambil bahagian di dalam pelbagai usaha komuniti antarabangsa dalam memelihara persekitaran maritim, contohnya melalui pengadaptasian Agenda 21 di Persidangan Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Agenda 21 merupakan pelan tindakan holistik yang wajar digerakkan di peringkat kebangsaan, antarabangsa dan global oleh organisasi di bawah sistem, kerajaan dan perkumpulan di bawah naungan Bangsa-Bangsa Bersatu di dalam apa jua aspek di mana ada kesan manusia terhadap alam sekitar (Nazery Khalid, 2009).

Seperti yang termaktub di dalam Dasar Alam Sekitar Kebangsaan, Malaysia mengambil langkah proaktif dalam isu-isu persekitaran serantau dan global dengan cara mematuhi kehendak-kehendak Agenda 21 di peringkat kebangsaan dan menyokong inisiatif antarabangsa dalam penerapan agenda tersebut (Nazery Khalid, 2009). Selain itu, Malaysia juga bergiat aktif di dalam inisiatif berciri maritim seperti Deklarasi Kerjasama Serantau Putrajaya untuk Strategi Pembangunan Lestari Kelautan Asia Tenggara (SDS-SEA), satu komitmen serantau bagi membangunkan sumber marin dan pesisir secara lestari.

No comments:

Post a Comment